Friday, March 1, 2013

Solat Jumaat: Isu dan Perbahasan

 http://www.marufclub.com/maruf/wp-content/uploads/2012/10/solat-jumaat.jpg

SELAIN solat lima waktu yang dituntut ditunaikan pada setiap hari, terdapat satu lagi kewajipan terhadap kaum Adam iaitu solat Jumaat. Ibadah berkenaan dilihat bukan sekadar kewajipan tetapi ia mempunyai objektif mendalam sekiranya setiap umat Islam menghayati hikmah tuntutan solat tersebut.

Dimulakan dengan laungan azan Zuhur, kemudian diikuti oleh dua khutbah dan diakhiri dengan solat dua rakaat secara berjemaah sebenarnya memperlihatkan konsep kesatuan umat Islam yang dimana kaum lelaki berkumpul seminggu sekali untuk mendengar mesej khutbah disampaikan oleh khatib.

Mengenai khutbah, sejak amalan itu diperkenalkan ketika pertama kali solat Jumaat ditunaikan di Madinah, ia telah banyak memberi manfaat kepada umat Islam. Bukan sahaja kandungannya penuh dengan peringatan, tetapi sarat dengan motivasi dan nasihat kepada umat Islam dalam misi memajukan ummah.

Bahkan khutbah disampaikan oleh Rasulullah SAW dikatakan melahirkan rasa keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT yang tidak terbatas sehingga melahirkan kecintaan terhadap Ilahi serta mengajak untuk mengaitkan segala amal duniawi dengan tidak melupakan soal akhirat.

Selain khutbah dan solat, amalan lain seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya juga merupakan tindakan menambah kesempurnaan hari Jumaat yang antara lain bermaksud perjumpaan minggu, sekali gus menjadikan hamba Allah yang beriman.

Demikian indahnya agama Islam dalam untuk mengajak umat bagi memperingati ketakwaan kepada Allah di samping memperkukuhkan ukhuwah persaudaraan sesama Islam.

Situasi

Walaupun ibadah Jumaat membawa pelbagai mesej kepada umat Islam tetapi mengapa saban hari kualiti ibadat tersebut dalam kalangan umat hari ini Islam semakin merosot. Lihat sahaja gelagat para jemaah yang hadir, terdapat daripada mereka didapati mengambil kesempatan untuk melepaskan kepenatan berkerja dengan tidur ketika khatib membaca khutbah.

Berdasarkan tinjauan di salah sebuah masjid di ibu negara baru-baru ini, kesempatan waktu lapang itu telah menyebabkan para jemaah mencari ceruk-ceruk, tiang-tiang konon katanya untuk bersandar selain menjadi kawasan melepak dan bersembang.

Selain itu, terdapat juga beberapa jemaah sempat baring untuk tidur sebelum tiba azan Zuhur. Walaupun ia tidak salah daripada segi hukum, tetapi menyimpang daripada objektif kewujudan masjid iaitu tempat untuk menambah ketakwaan kepada Allah.

Gelagat-gelagat berkenaan tidak sahaja berlaku di ruang belakang masjid, tetapi juga di dalam dewan utama masjid. Tterdapat beberapa jemaah didapati tidur, sebahagiannya bermain telefon bimbit dan selebihnya pula menumpukan kepada ibadah. Keadaan itu berterusan sehinggalah laungnya iqamat untuk menunaikan solat Jumaat.

Alangkah ruginya pada ketika itu apabila khatib membaca khutbah berkisar isu Kalimah Allah yang sedang hangat diperkatakan telah diabaikan.

Lain pula situasi di luar masjid, para perniaga pula sibuk melayan pelanggan dengan pelbagai jenis jualan.

Hal demikian sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa keberkatan hari Jumaat bukan sahaja direbut dengan amalan ibadah, tetapi termasuk juga habuan rezeki.

Namun malangnya terdapat beberapa peniaga termasuk para jemaah sendiri tanpa segan silu meneruskan jual beli walaupun azan Zuhur telah berkumandang. Tindakan itu bertentangan dengan arahan Allah. (rujuk al-Jumaah: 9)

Berdasarkan situasi diberikan, adakah sempurna Jumaat jika hari penuh keberkatan itu dibiarkan dengan perkara-perkata tidak berfaedah.

Daripada Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari Syurga."

Demikian antara hadis yang menceritakan kemuliaan Jumaat sehingga baginda menamakan hari keberkatan tersebut sebagai sayidul ayyam (penghulu segala hari). Bahkan bukan setakat gelaran penghulu segala hari diberikan, tetapi baginda memberitahu bahawa hari Jumaat terkandung banyak fadilat.

Salah satu kelebihan adalah berdasarkan sebuah hadis riwayat oleh Abi Said al-Khudri bermaksud: "Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat."

Berbalik berhubung isu para jemaah mengabaikan kelebihan hari Jumaat dengan tidur ketika khatib membaca khutbah, bersembang bersama rakan-rakan dan sebagainya, adakah jumaat diterima mahupun sempurna?

Sehubungan itu Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim menjelaskan bahawa antara keunggulan ajaran Islam ialah tuntutan solat Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah dan didahulu oleh dua khutbah.

Tambah beliau, peluang ibadah seminggu sekali sepatutnya direbut dan diambil peluang oleh umat Islam untuk mengukuhkan ukhuwah selain mendengar pesanan dan peringatkan menerusi khutbah disampaikan. Beliau menekankan bahawa falsafah tersebut penting untuk difahami oleh umat Islam agar lebih bersedia untuk menghadiri ibadah mingguan berkenaan.

Memberi kesedaran

Oleh demikian, menurut Zamri, pemahaman itu sebenarnya memberi kesedaran untuk mengambil peluang mengukuh rasa persaudaraan sesama Islam dan menambah semangat untuk memenuhi kekosongan iman dan amalan dengan mendengar khutbah yang disampaikan.

"Sengaja merancang untuk tidur semasa khutbah disampaikan akan menghilangkan maksud ibadah solat Jumaat sendiri bahkan sepatutnya persediaan diri dilakukan lebih awal agar mengantuk tidak bertandang sewaktu khutbah disampaikan.

"Sepatutnya khutbah Jumaat yang disampaikan seminggu sekali itu adalah saat yang ditunggu-tunggu dan bukan dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Jelas Zamri, walaupun daripada sudut hukum apabila seseorang jemaah sempat rukuk bersama imam ketika rakaat terakhir dalam solat Jumaat, maka ibadatnya itu adalah sah, namun hikmah di sebalik pensyariatan solat Jumaat itu tidak mencapai matlamatnya, malah ia sebagai satu kerugian besar.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak memberitahu, jumhur ulama mengatakan haram jika melakukan urusan jual beli ketika azan kedua berkumandang iaitu ketika imam sudah naik dan duduk di atas mimbar. Menurut Zamri, hujah itu berpandukan ayat sembilan surah al-Jumuah, Bersegera kepada mengingati Allah dan tinggalkan jualbeli.

Kata beliau lagi, objektif suruhan itu adalah untuk mengelakkan wujudnya suasana tidak memberikan penumpuan terhadap khutbah disampaikan. Malah jual beli berkenaan dikhuatiri akan melekakan para peniaga dan pembeli daripada mendengar dan memahami isi kandungan khutbah.

"Untuk tidak membiarkan masalah ini berlarutan, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah melakukan perbincangan antara para peniaga, pihak pentadbiran masjid dan tokoh ulama. Lakukan perbincangan dengan penuh rasa kasih sayang dengan memberi fokus kepada penerangan dan perbincangan hukum berjual beli ketika khutbah disampaikan.

"Pemahaman keuntungan dalam perniagaan dan kaitannya dengan keberkatan hidup. Bahkan perlu diberi penerangan juga kepada jemaah tentang hukum-hakam yang berkaitan dengannya," kata beliau.

Sumber: Utusan.com.my

0 comments

Post a Comment