Friday, March 14, 2014

Khutbat Jumaat: Tanggungjawab imarah masjid



Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bahawasanya hendaklah kita berpegang teguh dengan tali Allah dan janganlah berpecah belah. Antara cara untuk menyatukan umat Islam adalah dengan mengimarahkan masjid kerana di situlah tempat pertemuan dan perkara pertama sekali yang Nabi SAW lakukan ketika datang ke Madinah adalah dengan membina masjid.

Kalau kita lihat, apabila Nabi SAW ketika dalam perjalanan hijrah Nabi, perkara pertama yang Nabi SAW bina apabila baginda sampai di Madinah adalah masjid. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran,

Maksudnya: “Masjid yang dibina atas dasar takwa yang terawal (binaannya) lebih layak untuk kamu berdiri di dalamnya untuk engkau melaksanakan solat.” (surah At-Taubah, 9: 108)

Dahulu, masjid adalah lambang perpaduan. Dahulu, masjid dijadikan tempat untuk bermusyawarah. Masjid dijadikan tempat untuk ibu-ibu tunggal, tempat untuk beribadah, merancang strategi perang, berbicara tentang ekonomi, berbicara tentang perpaduan. Sebab itu kalau kita lihat hadis Nabi SAW, bagaimana baginda berbicara tentang saf. Kata Nabi SAW yang bermaksud:

“Hendaklah kamu rapatkan saf sesama kamu di dalam solat, ataupun Allah SWT pecah belahkan hati kamu.” (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)

Perpaduan bermula di masjid. Imam suatu ketika dahulu merupakan orang yang dihormati, dijadikan tempat penyelesaian kepada permasalahan ummat. Sebab itu bukan calang-calang orang yang boleh menjadi Imam. Pada zaman Nabi kalau Nabi tiada, Nabi melantik Abu Bakar untuk menggantikan tempatnya sebagai Imam.

Lama kelamaan aura tersebut hilang. Imam hanya jadi penyelesai kepada pengurusan jenazah. Imam hanyalah orang yang dijemput sebagai ketua di dalam majlis tahlil, itu sahaja. Jadi kita mencadangkan dalam usaha mengimarahkan masjid di kalangan masyarakat kita pada hari ini, perkara pertama yang harus kita lakukan adalah martabatkan institusi masjid.

Perkara inilah yang perlu dijadikan manifesto oleh parti-parti politik. Tetapi jangan selepas menang pilihanraya masjid ditinggalkan.

Masalah kita ialah satu pihak seronok membina masjid, satu pihak lagi mengimarahkan masjid dan dia mendapat sokongan daripada ahli masjid. Pihak lagi satu berkata “kamilah yang membina masjid itu.” Pihak satu lagi pula berkata “kami yang mengimarahkan masjid itu.” Politik juga. Jangan, masuk sahaja ke dalam masjid, buang topi biru, topi hijau, topi merah. Apabila masuk ke dalam masjid kita sama-sama umat Islam, sujud kepada Tuhan yang satu. Tidak boleh lawan tidak bertegur sapa disebabkan perbezaan fahaman politik.

Suatu ketika dahulu pada zaman Nabi SAW, antara cara untuk membezakan antara munafiq dan orang Islam adalah melalui solat berjamaah. Kerana pada masa itu semua umat Islam hadir solat berjamaah di masjid, jadi mereka mengenali antara satu sama lain dan menyeru kepada perpaduan.

“Tidak ada yang akan meninggalkan solat berjemaah,kecuali orang munafiq yang sudah diketahui kemunafikannya.” (riwayat Imam Muslim)

Sebab itu di dalam azan dilaungkan Hayya-‘ala-as-solah, Hayya-‘ala-al-falah.” Bagaimana boleh ada Hayya-‘ala-al-falah (Marilah kita menuju kejayaan)? Kerana kejayaan tercipta hasil daripada perpaduan.

Solat berjemaah bukan calang-calang. Bermula dari solat ia akan mendidik jiwa yang taat, jiwa yang berdisiplin. Kerana apa? Kerana kita mesti mengikut imam. Tidak boleh sebelum imam bertakbir kita mendahului mengangkat takbir. Ruku’ terlebih awal daripada Imam Nabi sudah sebut di dalam hadis,

”Tidakkah takut orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam akan Allah mengubah kepalanya menjadi keldai.” (riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Itu amaran keras bagi orang yang mendahului imam di dalam solat. Disiplin dalam solat, disiplin dalam mengikuti imam mengajar kita taat. Tetapi institusi masjid pada hari ini lesu, kecuali beberapa masjid sahaja. Kita membaca khutbah, kita bukan lagi berkhutbah. Nabi apabila berkhutbah merah kedua matanya, kuat suaranya seperti Nabi itu sedang menjadi panglima tentera yang sedang menyeru orang keluar berperang. Itu cara Nabi berkhutbah.

Jabir bin Abdillah berkata, “Apabila Nabi SAW berkhutbah, kedua matanya memerah, suaranya meninggi dan semangatnya memuncak. Beliau bagaikan panglima perang yang sedang mengingatkan pasukannya.” (riwayat Imam Muslim no.867)

Tapi pada hari ini apabila khatib mula naik ke mimbar, jemaah mula pilih tempat parking masing-masing, bila khatib mula berkhutbah, jemaah mula faham dah (mengantuk). Di mana nilai institusi masjid? Jadi kita perlu mengimarahkan institusi masjid, sebab masjid merupakan simbol perpaduan. Sebab itu kita perlu mengajak semua orang tidak kira umno atau pas, buang baju hijau, biru atau merah, masuk ke dalam masjid dan tunjukkan bahawa kita bersatu kerana agama.

Kita perlu manfaatkan masjid, upgrade institusi masjid. Bagi pihak yang mengurus masjid, fikirkan bagaimana kita hendak menaik-taraf institusi masjid kita. Sebab kita mahukan perpaduan Melayu dan khususnya perpaduan Islam itu sendiri.

Ciri-ciri orang yang mengimarahkan masjid digambarkan sendiri di dalam Al-Quran,Maksudnya:

“Ciri-ciri orang yang mengimarahkan rumah-rumah Allah SWT adalah orang yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat.” (surah At-Taubah, 9: 18)

0 comments

Post a Comment