PALESTIN, Rabu – “Sekarang semua orang boleh merakam video, menyiarkannya dan berkongsi dengan sesiapa di seluruh dunia.
“Teknologi telah membawa lebih ramai mengikuti perkembangan terkini yang berlaku di Palestin melawan rejim Israel.”
Demikian pandangan yang diberikan oleh pengamal media dan pemilik stesen radio Mawwal FM di Beitlaham ketika ditemuramah.
Jurutera penyiaran, Mamoun Matar pula berkata, semua orang sudah memiliki telefon pintar atau komputer riba.
“Dengan itu, gambar dan video dengan cepat tersebar ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau menjelaskan Intifada yang berlaku pada hari ini tidak sama dengan Intifada Kedua yang berlaku pada Oktober tahun 2000.
“Dulu kita terpaksa menunggu stesen Al-Jazeera dan stesen televisyen Arab lain membuat liputan protes dan peristiwa. Tapi kini tidak lagi, para pemuda merakam sendiri dan menyebarkan melalui saluran yang mereka ada,” katanya.
Pengarah laman web Jaringan Internet Media Arab (AMIN), Khaled Abu Aker turut berkongsi pandangan sama.
“Selain liputan yang dibuat oleh pemuda Palestin itu sendiri, keupayaan teknologi siaran langsung juga banyak memberi manfaat kepada perjuangan rakyat Palestin untuk disebarkan kepada dunia,” katanya.
Jurnalis veteran, Ahmad Buderi berkongsi pandangan bahawa semasa Intifada Pertama pada tahun 1987, alat komunikasi yang ada hanyalah mesin faks dan akhbar bercetak.
“Sekarang ia sudah tidak mendapat tempat,” katanya.
Sejak ketegangan memuncak dalam tempoh sebulan di Baitul Maqdis, pelbagai gambar dan video telah menjadi viral di laman sosial hasil perkongsian rakyat Palestin yang merakam di tempat kejadian. – Agensi
0 comments
Post a Comment