Wednesday, August 15, 2018

PERBEZAAN ‘HARI WUQUF’ ARAB SAUDI DAN MALAYSIA

PERBEZAAN ‘HARI WUQUF’ ARAB SAUDI DAN MALAYSIA

Ramai orang mengajukan soalan mengenai perbezaan ‘hari wuquf’ Arab Saudi dan Malaysia. Perbezaan ini turut menimbulkan keresahan lain, seperti isu bolehkah puasa 9 Zulhijjah sedangkan Arab Saudi sedang berhari raya Aidul Adha, dan juga bolehkah menyembelih korban pada hari terakhir tasyriq sedangkan di Arab Saudi telah tamat hari tasyriq.

Jawapan kepada persoalan ini, ialah kembali kepada perbahasan ilmu falak. Secara ringkasnya, umat Islam adalah tertakluk kepada ru’yah hilal di negeri masing-masing. Umat Islam di Malaysia tidak perlu untuk mengikuti tarikh Arab Saudi, kerana matla’ hilal kita dan Arab Saudi adalah berbeza. Oleh yang demikian, tidak perlu risau, hanya ikut sahaja tarikh di Malaysia. Allah, pemilik dan pengurus masa, lebih mengetahui. Sebagai tambahan, tiada istilah ‘hari wuquf’ di Malaysia.

Dalam konteks tahun 1439H (2018), hari melihat anak bulan ialah pada Sabtu 11 Ogos 2018/29 Zulqaedah 1439H. Di Malaysia, anak bulan tidak kelihatan, justeru 1 Zulhijjah jatuh pada hari Isnin 13 Ogos. Sementara di Arab Saudi pula, anak bulan telah kelihatan, justeru 1 Zulhijjah di negara mereka jatuh pada Ahad 12 Ogos.

Isu ini disentuh dalam hadith Sahih Muslim, seperti berikut:

أَخْبَرَنِي كُرَيْبٌ، أَنَّ أُمَّ الفَضْلِ بِنْتَ الحَارِثِ، بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ: فَقَدِمْتُ الشَّامَ، فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا، وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ هِلَالُ رَمَضَانَ وَأَنَا بِالشَّامِ، فَرَأَيْنَا الهِلَالَ لَيْلَةَ الجُمُعَةِ، ثُمَّ قَدِمْتُ المَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ، فَسَأَلَنِي ابْنُ عَبَّاسٍ، ثُمَّ ذَكَرَ الهِلَالَ، فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الهِلَالَ، فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَأَنْتَ رَأَيْتَهُ لَيْلَةَ الجُمُعَةِ؟ فَقُلْتُ: رَآهُ النَّاسُ، وَصَامُوا، وَصَامَ مُعَاوِيَةُ، قَالَ: لَكِنْ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ يَوْمًا، أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَلَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ، قَالَ: لَا، هَكَذَا «أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ»

“Daripada Kuraib : Sesungguhnya Ummu Fadl binti Al-Harith telah mengutusnya menemui Mu’awiyah di Sham. Berkata Kuraib : Lalu aku datang ke Sham, untuk aku selesaikan semua keperluannya. Dan nampaklah olehku (anak bulan) Ramadhan, sedang aku masih di Syam, dan aku melihat hilal (Ramadhan) pada malam Jumaat.

Kemudian aku datang ke Madinah pada akhir bulan (Ramadhan), lalu Abdullah bin Abbas bertanya ke padaku (tentang beberapa hal), kemudian ia menyebutkan tentang hilal, lalu dia bertanya ; “Bilakah kamu melihat hilal (Ramadlan)?

Jawabku : “Kami melihatnya pada malam Jumaat”.

Dia bertanya lagi : “Adakah engkau melihatnya (sendiri) ?”

Jawabku : “Ya ! Dan orang banyak juga melihatnya, lalu mereka puasa dan Mu’awiyah juga berpuasa”.

Ia berkata : “Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu, maka kami berpuasa sampai kami sempurnakan tiga puluh hari, atau sampai kami melihat hilal (bulan Syawal) “. Aku bertanya : “Apakah tidak cukup bagimu ru’yah (penglihatan) dan puasanya Mu’awiyah ?

Jawabnya : “Tidak ! Begitulah Rasulullah SAW, telah memerintahkan kepada kami”.

Hadith ini diperbahaskan dengan panjang lebar dalam ilmu falak. Kesimpulannya, Ibnu Abbas, berdasarkan kepada apa yang diajar oleh nabi Muhammad SAW, menyatakan bahawa setiap negeri tertakluk kepada rukyah masing-masing, dan tidak perlu untuk mengikut rukyah di Makkah atau Madinah.

Imam al-Tirmidhi turut meriwayatkan hadith ini. Menurut beliau, setiap negeri ada rukyah masing-masing.

Begitu juga Imam al-Nasa’i, turut memberikan komen yang sama.

Isu ini juga berbangkit apabila wujud perbezaan antara tarikh mula Ramadhan antara Malaysia dan Arab Saudi. Ramai yang pula memikirkan bagaimana puasa mereka, bagaimana lailatul qadar mereka. Ketahuilah, kita adalah manusia, makhluk yang lemah, yang terbatas dengan masa dan ruang yang Allah ciptakan. Sedangkan Allah itu Maha Berkuasa, yang mencipta dan mengatur masa dan ruang dan tidak pula tertakluk kepada masa dan ruang. Oleh yang demikian, tidak perlu khuatir akan perbezaan ini. Sebaliknya, patuhilah kalendar di negeri kita berada.

0 comments

Post a Comment