Friday, September 28, 2018

Hukum Gantung Gambar Keluarga

Bolehkah saya menggantungkan gambar keluarga di ruang tamu rumah?

Kita dilarang meletakkan patung di rumah tetapi dalam al-Quran ada menyatakan: “Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa-apa yang beliau kehendaki seperti bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung, pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tungkunya. (Setelah itu Kami perintahkan) ‘Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!’ Dan sememangnya sedikit sekali dalam kalangan hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, ayat 13)

Mohon ustaz terangkan maksud ayat berkenaan. 

Abdul Raof, Manjung, Perak



Hukum menggantung gambar keluarga di rumah adalah harus dengan syarat tiada pendedahan aurat berlaku ketika gambar ditatap oleh tetamu yang bukan mahram.

Namun haram hukumnya jika mempamerkan gambar orang kafir yang melakukan perbuatan syirik terhadap Allah SWT. Contohnya, apabila meletakkan gambar ahli keluarga yang masih bukan Islam dengan perhiasan salib. Perkara itu tidak dibenarkan kerana gambar sebegitu secara tidak langsung melambangkan keagungannya, sedangkan Islam itu lebih agung selain bertujuan memelihara iman daripada syirik kepada Allah.

Berkaitan patung yang ada ketika pemerintahan Nabi Sulaiman sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran itu, kita perlu memahami maksud dan mengetahui konteks ayat berkenaan.

Berdasarkan zahir ayat itu jelas menunjukkan, membuat patung dalam syariat Nabi Sulaiman adalah diharuskan. Menurut ulama seperti Imam al-Qurtubi dan Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab, kalimah ‘Tamashil’ yang disebut dalam ayat itu berasal daripada perkataan ‘Matsil’ yang merujuk kepada sesuatu yang dibuat bagi tujuan menyerupai sama ada gambar atau patung.

Hakikatnya, ulama berbeza pandangan dalam mentafsir ayat berkenaan. Pendapat pertama, patung atau gambar sememangnya dibenarkan dalam syariat Nabi Sulaiman tetapi diharamkan dalam syariat Nabi Muhammad SAW.

Pendapat kedua, patung atau gambar yang dimaksudkan merujuk kepada sesuatu yang tidak memiliki roh seperti gambar pokok, laut dan pemandangan bukannya gambar haiwan atau manusia.

Justeru, dengan pentafsiran ini, jelas bahawa syariat Nabi Sulaiman tiada bezanya dengan syariat Nabi Muhammad. Sekiranya kita meneliti setiap kalam Allah dalam al-Quran, kita akan dapati Allah sering membawa kisah perutusan nabi secara zaman-berzaman yang berperanan menghalang manusia menyembah patung berhala.

Contohnya, firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’,  ayat 52: Ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya: “Apakah hakikatnya patung-patung (yang tidak boleh berbuat apa-apa pun) ini yang kamu sungguh-sungguh memujanya.”

Apabila Nabi Muhammad SAW membawa Islam yang berteraskan tauhid, jelas ia juga menentang penyembahan berhala. Islam mengharamkan secara mutlak perbuatan mencipta patung berhala.

Bukankah Baginda dan sahabat memusnahkan banyak berhala yang terdapat berdekatan Kaabah dan yang diletakkan berdekatan bukit Safa dan Marwah suatu ketika dahulu?

Terdapat banyak hadis menekankan perkara berkaitan pengharaman gambar dan patung. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat ialah orang yang membuat ukiran atau memahat patung.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nabi juga bersabda: “Manusia yang paling dahsyat azabnya di akhirat ialah al-mushawwirin (pembuat gambar).”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi membenarkan gambar atau lukisan pada bantal, selimut, tempat duduk atau mana-mana tempat yang tidak dimuliakan.

Menurut Ibn Abbas harus menjadikan perhiasan berbentuk lukisan seperti ayat suci al-Quran, pokok, gambar pemandangan dan benda yang tidak bernyawa.

Begitu juga pemandangan laut, perkampungan, pokok di hutan, sungai dan sebagainya. Apabila mengkaji dengan lebih lanjut mengenai larangan membuat patung dan melukis gambar yang mempunyai roh, jelas antara faktor ia tidak dibenarkan kerana dibimbangi akan menjurus ke arah syirik dan pemujaan serta dilihat sebagai usaha menandingi ciptaan Allah.

Gambar yang diambil secara fotografi adalah harus kerana ia bertujuan sebagai kenang-kenangan, bukannya lukisan bertujuan menyamai atau menandingi ciptaan Allah SWT.

Penulis ialah pendakwah

0 comments

Post a Comment