Friday, August 15, 2014

Apakah hukum suami mengatakan " comelnyer baby ayah....bontot leper mcm ibu" adakah jatuh zihar?



Fatwa Malaysia

ISU:

Apakah hukum suami mengatakan " comelnyer baby ayah....bontot leper mcm ibu" adakah jatuh zihar?

PENJELASAN:

Zihar bermaksud, "Suami menyamakan isterinya yang bukan dalam talak ba'in dengan wanita lain yang haram dikahwininya." (al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, jil. 3, hlm. 229). Rukun dan syarat zihar ialah (Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam mar'ah, jil. 8, hlm. 286-303):

1) Rukun zihar pertama ialah suami: Suami melafazkan kalimah yang mengandungi maksud zihar kepada isteri dengan menyamakan anggota isteri dengan anggota wanita lain yang haram dikahwini oleh suami tersebut.

2) Rukun zihar kedua ialah isteri. Ditujukan lafaz zihar itu kepada isteri dengan menyamakan anggota isteri dengan anggota wanita lain yang haram dikahwini oleh suami tersebut. Sama ada isteri itu masih isteri yang sah daripada perkahwinan yang sah, atau masih berada dalam iddah talak raj'i (talak satu).

3) Rukun zihar ketiga ialah wanita yang disamakan dengannya: Wanita yang disamakan anggota badannya dengan anggota badan isteri adalah wanita yang haram dikahwini oleh suami yang melafazkan, sama ada ibu, anak perempuan, makcik (adik beradik perempuan kepada ibu atau bapa), dan wanita lain yang diharamkan berkahwin dengannya sampai bila-bila.

4) Rukun zihar keempat ialah lafaz zihar: Suami menggunakan lafaz yang menunjukkan maksud zihar.

Merujuk kepada isu yang dibangkitkan, suami mengatakan " comelnyer baby ayah....bontot leper mcm ibu". Ayat tersebut difahami, suami menujukan lafaz itu kepada anak perempuannya, bukan kepada isterinya. Maka ia tidak memenuhi syarat kedua, kerana zihar ialah suami menujukan lafaz kepada isteri. Oleh itu, dalam kes ini, tiada kaitan dengan zihar.

Fatwa yang hampir sama dengan soalan yang dikemukakan ialah:
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Jamadilawal 1423 bersamaan 30 Julai 2002 telah membincangkan mengenai Hukum Zihar Di Kalangan Umat Islam Melayu Di Malaysia. Alhamdulillah fatwanya: "Sekiranya suami menyamakan anggota badan isteri dengan mahramnya (orang yang haram dinikahinya) tanpa niat zihar dan untuk tujuan bergurau atau penghormatan maka ia tidak jatuh zihar, tetapi jika ada niat zihar, maka jatuhlah hukum zihar. Walaubagaimana pun budaya atau amalan seperti ini hendaklah dijauhi. "

Wallahua'lam

0 comments

Post a Comment