
Abdullah Bukhari Abdul Rahim
USAHKAN MEMBANTAH RASULULLAH SAW, MENYELINAP KELUAR DARI MAJLISNYA PUN HARAM
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Nur [24:62-62]) pada 23 September 2014. Antara isinya adalah adab bersama Rasulullah SAW. Firman Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آَمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِذَا كَانُوا مَعَهُ عَلَى أَمْرٍ جَامِعٍ لَمْ يَذْهَبُوا حَتَّى يَسْتَأْذِنُوهُ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَأْذِنُونَكَ أُولَئِكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ فَإِذَا اسْتَأْذَنُوكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَنْ لِمَنْ شِئْتَ مِنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمُ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (62) لَا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا قَدْ يَعْلَمُ اللَّهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنْكُمْ لِوَاذًا فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (63)
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang MENYELINAP KELUAR (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya (al-Nur [24.62-63]).
Ayat ini menjelaskan:
1) Iman kepada Allah dan Rasulullah SAW memerlukan pembuktian ketaatan. Antara bukti ketaatan adalah sebarang niat meninggalkan majlis baginda mesti dengan izin. Izin yang dimaksudkan ayat ini adalah sebarang majlis bersama baginda SAW seperti Khutbah Jumaat, Perang dan sebagainya.
2) Allah memberikan kebenaran kepada baginda menilai alasan meninggalkan majlis oleh para sahabat. Ayat ini menunjukkan Rasulullah juga BERIJTIHAD (menggunakan pendapatnya setelah diteliti segala sudut pandang secara bijaksana) dalam sebarang keputusannya.
3) Tindakan orang Munafiq MENYELINAP DI CELAHAN MANUSIA tanpa izin baginda SAW dilaknat dan diancam azab oleh Allah.
Jika MENYELINAP SECARA RAHSIA pun sudah dilaknat Allah, bayangkan bagaimanalah nasibnya manusia angkuh yang menolak terus Sunnah dan syariat baginda SAW.
0 comments
Post a Comment