Wednesday, October 8, 2014

KENAPA PERLU BERPANTANG SELEPAS BERSALIN?



KENAPA PERLU BERPANTANG SELEPAS BERSALIN?

Amalan berpantang selepas bersalin adalah satu kaedah pemulihan secara tradisional di dalam satu jangka masa tertentu untuk wanita yang baru melahirkan anak. Ianya masih diamalkan sehingga ke hari ini dan diwarisi sejak turun temurun di kalangan masyarakat Asia terutamanya orang Melayu.

Pada tempoh masa ini, si ibu akan dirawat secara berstruktur dari segi kesihatan, kebersihan diri dan pemakanan yang terkawal. Definisi ‘berpantang’ bermaksud si ibu melalui tempoh pengasingan daripada mengambil apa-apa yang boleh memudaratkan diri melainkan hanya beberapa bahan atau makanan yang perlu diambil.

Tempoh berpantang biasanya berlangsung selama lebih kurang 44 hari atau 6 minggu dari hari kelahiran anak. Tumpuan utama rawatan adalah untuk membantu mengembalikan bentuk badan ibu kepada asal, memulihkan organ pembiakan wanita, menyembuhkan luka akibat kelahiran, membetulkan keadaan rahim dan mengembalikan ketegangan faraj. Dipercayai jika rawatan ini tidak dijalankan, dikhuatiri rahim akan kendur dan wanita akan kelihatan tua daripada usianya.

Asas rawatan adalah menggunakan herba-herba tradisional, urutan, diet yang ketat serta penggunaan alatan bantuan seperti bengkung dan rawatan tungku panas.Terdapat 3 fasa rawatan yang perlu ditempuh oleh si ibu semasa berpantang ini.

Transformasi Ibu Di Dalam 3 Fasa

Di dalam fasa pertama, urutan akan dilakukan ke atas ibu. Urutan yang dikenali sebagai ‘urutan sentuhan’ ini bermanfaat untuk memulihkan kekejangan perut, melegakan otot-otot yang tegang, mengurangkan stres dan menggalakkan tidur yang lena.

Urutan disambung ketika memasuki fasa kedua dan ketiga tetapi teknik urutan adalah berlainan untuk kali ini. ‘Urutan asak’ adalah urutan yang membantu membetulkan kembali rahim ke kedudukan asalnya. Urutan ini kemudiannya memudahkan darah selepas bersalin (darah nifas) keluar dengan teratur, mengeluarkan kotoran di kawasan rahim dan kelangkang, melegakan kembung perut dan sembelit.

Urutan dengan tuaman batu juga diperkenalkan. Ia adalah rawatan khas yang bermula pada hari ke-4 sehingga hari ke-39 kelahiran. Ia bermanfaat untuk melegakan otot-otot yang tegang, memecahkan lemak, mengeluarkan angin dan toksin, mempercepat pengecutan rahim, meleperkan perut dan mengembalikan tubuh badan kepada asal.

Para ibu juga digalakkan mengambil herba-herba tradisional seperti temulawak, temukunci, daun lempoyang, herba tengas dan sebagainya. Herba-herba ini mampu untuk melancarkan peredaran darah, menggalakkan pengeluaran susu ibu, mengeluarkan angin di dalam badan dan mempercepatkan proses pelangsingan.

Pengambilan makanan juga dititikberatkan. Sesuai dengan namanya, ibu-ibu bersalin juga perlu ‘berpantang’ daripada mengambil makanan yang tertentu. Makanan yang ada kandungan air perlu dielakkan kerana ia akan meningkatkan pengekalan air di dalam badan. Oleh itu, makanan yang dipanggang atau dikukus adalah pilihan menu harian semasa berpantang. Makanan laut juga ditegah kerana ia menyebabkan alahan dan melambatkan penyembuhan luka. Makanan yang menyebabkan angin seperti kekacang juga perlu dielakkan.

Mengikut amalan masyarakat Melayu lama, pada hari ke-44 kelahiran, si ibu akan diberi mandi bunga. Selepas mandi, ibu diberi minuman eksotik yang dikenali sebagai ‘Ubat Turuti wangi. Ini adalah rawatan terakhir adalah untuk mengalu-alukan ibu kepada kehidupan normal atau ‘balik perawan’ (kembali ke ‘dara’).

Kebaikan melalui tempoh berpantang

Walaupun dilihat sebagai melalui suatu tempoh yang memeritkan, tetapi ia memberikan kebaikan kepada si ibu dan juga untuk anak yang dilahirkan.

Dari sudut kesihatan, tempoh berpantang ini adalah tempoh rehat serta satu proses membaikpulih tubuh badan setelah bersalin samada secara normal atau pembedahan. Ia juga dapat mengelakkan tubuh badan dari dijangkiti kuman dan bakteria.

Dari sudut pemakanan pula, si ibu akan mendapat khasiat dan nutrien yang diperlukan untuk mengembalikan kecantikan dan kelangsingan tubuh badan. Selain daripada itu, pemilihan makanan juga dititikberatkan untuk mengelakkan si ibu mendapat masalah kesihatan.

Contohnya, para ibu tidak digalakkan memakan sayur-sayuran yang bersifat ‘sejuk’ seperti kangkung, bayam dan pucuk paku kerana boleh menyebabkan kegatalan. Ikan seperti ikan kembung, ikan tongkol dan ikan cencaru juga perlu dielakkan. Minuman berais dan bergas perlu dihindari kerana ia boleh menyebabkan angin di dalam badan.

Waktu berpantang juga dapat menenangkan fikiran dan emosi ibu setelah tempoh bersabung nyawa melahirkan anak. Inilah masa untuk berehat dan memberikan sepenuh tumpuan untuk diri sendiri dan anak yang baru dilahirkan. Tempoh berpantang dapat mengeratkan hubungan di antara ibu dengan anak serta dengan keluarga.

Walaupun zaman sudah berubah, namun amalan berpantang selepas bersalin masih lagi relevan dengan masyarakat sekarang.

0 comments

Post a Comment