PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Kelebihan Muazin Dan Solat Berjemaah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya manusia (Muslim) mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf pertama, lalu mereka tidak akan mendapatkannya kecuali dengan cara mengundi, nescaya mereka akan melakukannya. Dan seandainya mereka mengetahui kelebihan takbir pertama pada solat berjemaah, nescaya mereka akan berlomba-lomba untuk mendapatkannya. Dan seandainya mereka mengetahui kelebihan yang terdapat pada solat Isya dan Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun harus dengan merangkak" (HR Bukhari No: 580) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Allah memberi kelebihan kepada orang yang menjadi muazin dan solat berjemaah di sof pertama.
2. Jika Muslim itu mengetahui kelebihan menjadi muazin dan berada di saf pertama, nescaya mereka akan mengundi dan berebut untuk melaungkan azan serta berada di saf pertama.
3. Allah juga memberikan kelebihan kepada orang yang sentiasa sempat takbirratulihram bersama imam dalam solat berjemaah.
4. Muslim yang prihatin kelebihan solat berjemaah pada waktu isya dan subuh akan sentiasa berusaha melakukannya walaupun terpaksa merangkak ke masjid.
5. Muslim yang menunaikan solat isya dan subuh berjemaah seolah-olah ia telah bersembahyang sepanjang malam. Hadis Rasulullah SAW:
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ
Dari Utsman bin ‘Affan ia berkata; “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melaksanakan solat isya berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat setengah malam, dan barangsiapa melaksanakan solat isyak dan subuh dengan berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat sepanjang malam.” (HR Tirmizi No: 205)
6. Marilah kita merebut keutamaan dan kelebihan dalam beramal:
a. Sebagai muazin
b. Solat berjemaah di saf pertama
c. Mendapat takbirratulihram bersama imam dalam solat fardhu berjemaah
d. Dapat solat isya dan subuh berjemaah di masjid.
0 comments
Post a Comment